Tanggal 14 Nov 2009 merupakan saat akhir aku bersama mama. Mama telah pergi menemui penciptanya dan meninggalkan aku buat selamanya. Namun aku redha dan aku sentiasa mendoakan agar Allah mengampunkan segala dosa-dosanya. Aku berdoa semoga Allah menerima segala amalan sepanjang hayatnya. Aku berdoa semoga Allah menempatkannya bersama hamba-hambaNya yang soleh. Aku berdoa semoga Allah membukakan pintu syurgaNya kepada mama. Aku berdoa semoga Allah menghilangkan dahaga mama ku dengan air dari syurgaNya. Aku berdoa semoga Allah menerima doa-doa ku buat mama. Ya Allah Kau lindungilah ibuku dari siksa barzakhMu dan Kau tempatkanlah ibuku kedalam syurgamu.
Aku sentiasa memohon kepada Allah, seandainya Dia mahu menjemput mamaku kembali, biarlah disisi ku, biarlah dihadapan ku dan biarlah aku yang membisikkan syahadah di telinganya. Dan saat-saat akhirnya mama dapat melihat aku buat kali terakhir untuk ku nyatakan betapa kasihnya aku kepadanya. Betapa bermaknanya mama kepada ku. Ingin aku menyatakan bahawa mama adalah ibu terbaik yang telah melaksanakan tanggungjawab yang Allah amanahkan dengan baik. Agar segala kebaikannya Allah terima sebagai amalan yang soleh dan membuka pintu syurgaNya kepada mama.
Ya Allah, sesungguhnya Kau maha berkuasa, sesungguhnya kau maha mengetahui, sesungguhnya kau maha pengasih dan penyayang. Ya Allah, aku bersyukur ke hadrat Mu kerana kau kabulkan doa ku. Saat mama pergi selamanya aku berada di sisinya.
Semenjak mama mula sakit, aku berdoa agar Allah sembuhkan penyakitnya. Aku cuba untuk memberikan yang terbaik buat mama. Namun Allah maha berkuasa, mama semakin hari semakin hilang keupayaannya sedikit demi sedikit. Hampir tiga tahun mama sakit. Dalam masa itu, aku memohon agar Allah sembuhkan mama. Dalam masa yang sama aku memohon agar Allah memberikan ketabahan dan kekuatan kepada ku untuk menerima seandainya tiba masanya. Ya Allah, hanya Kau yang tahu betapa takutnya aku kehilangan mama kerana masih banyak janjiku kepada mama yang belum mampu aku tunaikan. Ya Allah, hanya Kau yang tahu betapa aku takut tidak dapat menerima pemergian mama nanti. Sesungguhnya aku insan yang lemah, sesungguhnya aku terlalu menyayangi mama ku. Lama aku mencari cara untuk menyesuaikan diri andainya mama tiada. Terlalu banyak memori manis bersama mama.
Beberapa hari sebelum mama pergi, hatiku sentiasa tidak tenteram. Aku sentiasa teringatkan mama. Ya Allah, mungkinkah itu detik hati untuk memberitahu yang mama akan kau ambil buat selama-lamanya. Aku sedari, aku bukan berada di sisi mama ketika itu. Ya Allah, aku memohon agar Kau makbulkan doaku. Aku mahu berada di sisinya. Aku memohon seandainya boleh kau tangguhkan sehingga aku berada di sisinya. Sesungguhnya Kau maha berkuasa, sesungguhnya Kau maha pengasih dan penyayang. Sehari sebelum pemergian mama, aku dalam perjalanan (memandu) ke masjid untuk menghadiri majlis tahlil dan doa selamat anjuran pejabatku yang lokasinya agak jauh dari rumah ku, aku menerima panggilan dari adik ku memberitahu mama sekali lagi dimasukkan ke hospital. Ketika itu hujan sangat lebat disamping guruh dan kilat. Jalan sesak, aku terperangkap dalam kesesakan. Ya Allah, hanya Kau yang tahu betapa bimbangnya aku, hanya Kau yang tahu betapa takutnya aku kerana aku tidak berada di sisi mama. Ya Allah, hanya Kau yang tahu sekali lagi aku memohon agar kau tangguhkan dulu, agar aku sempat berada di sisi mama. Walau aku tahu ajal dan maut itu adalah ketentuan Mu. Pabila mendapat berita itu aku terus berpatah balik, aku tinggalkan majlis yang sepatutnya aku hadiri. Aku terus pulang untuk menjemput isteri dan anak-anak ku untuk pulang menemui mama. Hujan dan kesesakan jalan telah melewatkan ku. Ya Allah hanya Kau tahu betapa runsingnya aku.
Setibanya aku, mama dalam keadaan kritikal. Doktor dan kakitangan hospital berusaha untuk menyelamatkan mama. Bapa dan adik-adik ku telah berada di sisi mama. Selepas beberapa jam mama kembali stabil, Alhamdulillah. Ya Allah, aku bersyukur aku telah berada di sisi mama. Keesokan harinya, pada masa yang sama seperti semalam, mama kembali kritikal. Kali ini keadaan mama semakin merosot. Aku berada di sisi mama sepanjang masa tanpa mahu berganjak walau sedetik. Ya, Allah mengapa masa yang sama keadaan mama kembali kritikal. Adakah semalam adalah caranya untuk memberitahuku bahawa hari ini Kau akan melaksanakan hukumMu, Kau akan mengambil mama ku kembali. Dalam masa lapan jam mama semakin nazak, mama semakin lemah. mama tidak lagi mampu membuka matanya. Bapa, adik-adik dan seluruh keluarga ku berada di sisi mama kecuali seorang adik ku yang dalam perjalanan pulang dari tugas. Aku tahu betapa berat hati adik ku itu untuk pergi semalam, namun selepas berbincang dan atas nasihat aku dan adik-adik yang lain dia pergi kerana ini adalah masa depan dia, isteri dan anaknya.
Dua jam sebelum pergi, mama semakin lemah, nadinya semakin merosot. Doktor memberitahuku tiada apa lagi yang dapat dilakukan. Aku dan keluarga tidak henti-henti membacakan surah yassin. Aku berada di sisi mama. Tepat jam 1245 pagi 14 Nov 2009 mama ku pergi buat selama-lamanya meninggalkan aku dan keluarga yang lain. Ya Allah, aku redha dengan ketentuan mu.
Ya Allah, sesungguhnya Kau mama berkuasa, Kau maha adil, Kau maha pengasih dan penyayang. Kau telah mendetikkan hati ku memberitahu bahawa mamaku akan Kau ambil kepangkuan Mu. Ya Allah, aku bersyukur kerana kau telah memakbulkan permohonan ku. Mamaku pergi di sisi ku. Ya Allah, aku bersyukur kerana kau berikan peluang untuk aku berbicara di sisi mama untuk menyatakan bahawa mama adalah ibu terbaik yang telah melaksanakan tanggungjawab yang Kau amanahkan dengan baik dan betapa aku menyayanginya. Ya Allah, aku bersykur kerana Kau makbulkan permohonan ku untuk aku mengucapkan lafaz syahadah di telinga mama di saat-saat akhir hayatnya. Dan yang tak akan aku lupakan buat selamanya sepanjang hayatku, di saat-saat akhir hayatnya, mama membukakan matanya buat kali terakhir dan memandang tepat ke mataku seolah ingin menyatakan yang dia akan pergi meninggalkan aku dan aku sempat membisikkan, "mama pergilah... dengan tenang, kami redha" sebelum mama menghembuskan nafas terakhir.
Ya Allah, hanya Kau yang tahu, betapa sebaknya hatiku, namun aku redha. Tidak setitikpun air mataku mengalir. Aku benar-benar sedih, aku benar-benar hiba, namun aku tidak mampu melepaskannya sehinggalah di saat akhir talkin di pusara mama. Aku tidak lagi dapat menahan sebak lalu menumpahkan air mata ku. Ya Allah, kau lindungilah roh mamaku, kau tempatkanlah roh mama ku bersama roh-roh hamba Mu yang Kau kasihi. Amin yarabbul a'lamin.
Selamat Tahun Baru 2022
2 years ago
0 comments:
Post a Comment